LAPORAN PROGRAM JAYAWARIS 2011
TARIKH : 21 FEBRUARI 2011
MASA : 8.00 PAGI HINGGA 11.30 PAGI
TEMPAT : DEWAN TERTUTUP SKSKL
KEHADIRAN : 75 ORANG WARIS
Program Jayawaris telah selamat disempurnakan dengan jayanya pada 21 Februari 2011. Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh cikgu Mohd Zaini b Hassan. Tn Hj Ramli bin Shafie yang diundang mengendalikan majlis telah memulakan sesi ceramah dengan memotivasikan murid-murid. Sesi bersama murid diadakan selama 1jam bermula pukul 8.00 pagi. Dalam ceramah beliau, murid-murid diingatkan tentang hubungan murid dengan Allah, hubungan dengan ibu bapa dan rakan-rakan yang menjadi asas kepada pemerolehan ilmu yang dapat dimanfaat dan akan memperoleh ganjaran daripada Allah yang berupa ilmu yang diingini oleh semua.
Setelah tamat motivasi bersama murid, penceramah undangan meneruskan program dengan memberi motivasi kepada ibu bapa/ waris. Antara pengisian ceramah beliau, para waris diingatkan pentingnya ibu bapa memanggil anak-anak dengan nama yang baik-baik kerana panggilan daripada ibu bapa merupakan satu doa. Di samping itu, ibu bapa diharapkan menjaga hubungan yang baik dengan anak-anak dan sentiasa menjadikan mereka sebagai rakan. Dengan cara itu, anak-anak akan berkongsi segala masalah dengan ibu bapa. Dalam masa yang sama juga ibu bapa diharapkan tidak meletakkan sasaran yang terlampau tinggi hingga menjadi satu beban kepada anak-anak. Beberapa doa diberikan kepada ibu bapa untuk diamalkan semoga dengan amalan tersebut, anak-anak menjadi golongan yang dapat menerima ilmu dengan mudah seterusnya membentuk anak-anak yang cemerlang.
Pada sesi ketiga, murid bersama – sama waris dipertemukan dalam satu acara yang dipanggil sesi pertautan kasih. Pada sesi tersebut, doa yang diajar dipraktikkan kepada anak masing-masing.Dalam sesi ini dapat dilihat kasih-sayang yang wujud antara ibu bapa dengan anak. Air mata mengalir membasahi pipi ibu bapa mahupun anak apabila doa yang dipelajari dipraktikkan.
Pada akhir majlis, ibu bapa mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah kerana berjaya mengadakan program yang sangat memanfaatkan mereka. Kebanyakan ibu bapa berharap akan ada kesinambungannya sebelum peperiksaan UPSR dilangsungkan. Hal demikian disebabkan penceramah berulang kali menyatakan bahawa beberapa tip untuk kejayaan anak-anak akan diberikan pada pertemuan yang lain sekiranya diundang oleh pihak sekolah. Majlis ditamatkan pada pukul 12 tengah hari.
GAMBAR SEKITAR PROGRAM